Saturday, July 30, 2022

Ilmu Sukar Dikuasai Memberikan Peluang Ekonomi Lebih Besar

Pelaburan hartanah bukan hanya membeli sebuah hartanah.

Terdapat pelbagai analisa perlu dilakukan dari segi keperluan pasaran, keadaan ekonomi atau kewangan semasa negara, latar belakang pelabur, keadaan pembangunan dan lain-lain.

Sesetengah perkara ini boleh dipelajari dengan pantas di dalam universiti atau kursus-kursus pendek ditawarkan oleh mereka yang berpengalaman. Jika tidak, seseorang pelabur perlu belajar melalui pengalaman dan kesalahan pelaburan mereka yang sangat mahal harganya! Sesetengah kesilapan pelaburan melebihi RM1juta atau membawa kepada muflis.

 

Oleh itu, sangat penting untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Tanpa ijazah, memang terdapat pelbagai peluang pekerjaan untuk lepasan SPM. Sesetengah pekerjaan memberikan gaji yang tinggi tetapi memerlukan kemahiran tinggi seperti jurujual bernilai tinggi, pemandu lori yang berat, juru-krane, kemahiran pembinaan bangunan dan sebagainya. Rata-rata pekerjaan ini mampu memberikan gaji lebih RM3,000 sebulan. Tetapi pekerjaan-pekerjaan ini memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Sesetengah pekerjaan ini tidak mampu diteruskan selepas berusia lebih 50 tahun.

Bagaimana pula peluang-peluang pekerjaan selepas ijazah universiti.

Kesilapan utama mereka yang menyambung pelajaran di universiti adalah bermatlamat untuk mendapatjan sekeping ijazah. Sekeping ijazah tanpa ilmu yang benar-benar difahami dan berguna untuk masyarakat, tidak akan dapat memberikan peluang-peluang pekerjaan atau ekonomi kepada pemilik ijazah tersebut. Maka bermulalah rungutan tiada pekerjaan atau gaji yang rendah walaupun berijazah.

Bidang yang mudah dipelajari bermakna ramai lepasan ijazah walhal tawaran kerja tidak banyak seperti Pentadbiran Perniagaan. Bidang yang susah bermakna industri berkaitan kekurangan pekerja kerana tidak ramai sanggup mempelajari bidang tersebut terutama bidang kejuruteraan. Sesetengah bidang kejuruteraan mungkin bermasalah disebabkan ekonomi semasa seperti aeronautik semasa PKP.

Ramai pekerja ingin memasuki bidang oil and gas kerana gaji tinggi tetapi ramai tidak nampak keadaan sebenar pekerjaan tersebut. Pekerjaan oil and gas juga sangat terjejas apabila harga minyak jatuh mendadak pada tahun 2016. Ramai mengganggur dan balik ke Malaysia.

Malaysia bernasib baik kerana mempunyai industri Semikonduktor yang merupakan sebahagian industri E&E (elektrikal dan elektronik). Industri E&E merupakan 37% daripada GDP (Keluaran Kasar Dalam Negara) Malaysia. Sementara Semikonduktur merupakan sebahagian daripada E&E menyumbangkan 26% daripada GDP Malaysia. Sekarang, setiap tahun hampir 1,000 atau lebih orang pekerja diperlukan di dalam industri Semikonduktor terutama rekabentuk elektronik dan komputer (IC designers), pengaturcara elektronik, mekatronik, dan sebagainya. Tetapi dari seluruh Malaysia tidak sampai 1,000 orang graduan di dalam bidang-bidang tersebut. Apabila ditolak mereka yang kurang cemerlang, bekalan fresh graduate sangat kritikal.

Semikonduktor industri juga merupakan antara penyumbang terbesar di dalam pelaburan dari luar negara. Saya pernah berbincang dengan sebuah syarikat antarabangsa dari Austria yang membangunkan kilang dan ibupejabat mereka di Kulim Kedah. 6,000 pekerja diperlukan dalam masa 3 tahun!, di mana 40% adalah jurutera. Lebih separuh merupakan jurutera elektronik dan komputer diperlukan. Kebanyakan universiti menamakan bidang ini Kejuruteraan Elektrik (Elektronik).

Tanggagaji sekarang diumumkan oleh Intel pada Januari 2022 adalah RM5,000 untuk jurutera muda tanpa pengalaman. Berdasarkan pengalaman bekas pelajar UTM, ini bermakna lepasan sarjana bermula pada gaji permulaan RM6,000. Sementara lepasan PhD bermula pada RM10,000 (tahun 2014). Tanggagaji ini juga memberikan masalah kerana tiada lepasan PhD di dalam bidang ini yang mahu menjadi pensyarah kerana gaji di industri jauh lebih besar.

Saya pernah membuat projek membekalkan pekerja mahir untuk bidang oil dan gas. Kebanyakan lepasan SPM dengan pengalaman lebih 3 tahun boleh mendapat gaji RM3,500 sementara pengalaman selepas 15 tahun boleh mendapat gaji lebih RM10,000. Bunyi kelihatan banyak tapi rata-rata mereka hanya mampu bekerja sehingga berumur 48 tahun. Selepas umur tersebut, tahap kesihatan mereka amat penting dan kebanyakkan kurang sihat untuk terus bekerja di dalam bidang tersebut.

Untuk pelaburan hartanah pula, rata-rata pinjaman sekarang adalah selama 25 tahun untuk lepasan SPM, 30 tahun untuk lepasan ijazah dan 35 tahun untuk lepasan sarjana. Sesetengah bank menambah 5 tahun untuk setiap kelayakan. Tetapi kebanyakkan bank hanya memberikan pinjmaan sehingga berumur 65 tahun jika tiada ijazah sementara ijazah dan ke atas boleh meminjam sehingga berumur 70 tahun. Sesetengh majikan pula, memberikan subsidi pinjaman perumahan kepada pemilik ijazah. Oleh itu pemilik ijazah dan ke atas amat mudah untuk membeli pelaburan hartanah sebanyak tiga unit atau lebih sebelum mereka pencen. Mereka boleh pencen sebagai jutawan!

Jadi, siapa lebih untung? Mereka yang hanya mempunyai SPM atau kelayakan ijazah dan lebih tinggi?

Tepuk dada tanya selera.

Pilihlah bidang yang sukar untuk memudahkan mendapat kerja bergaji tinggi.

Kalau tak cukup, bidang IC design boleh kerja di Singapura dengan gaji sama tapi darab 3 kerana matawang Malaysia lebih rendah.

No comments: