Tuesday, February 18, 2014

Keperluan Untuk Bersedekah di dalam Pelaburan

     Ramai berfikir apa yang ada mencukupi untuk diri sendiri dan keluarga, selesa dengan apa yang ada (comfort zone). Mereka merasakan segala daya usaha mereka hanya untuk diri sendiri. Mereka tidak memikirkan golongan orang yang kurang bernasib baik. Walaupun kita sentiasa bergaul dengan golongan pendapatan sederhana dan tinggi, terdapat juga masyarakat setempat yang kurang bernasib baik: kurang pendidikan, pendedahan, skill/kemahiran, anak yatim, ditimpa musibah dan sebagainya.

     Di dalam Islam, mengumpul kekayaan mesti juga bermatlamatkan untuk kesejahteraan masyarakat setempat, agama dan negara. Untuk mendidik masyarakat Islam, konsep zakat telah diturunkan melalui Al Quran dan juga Hadis. Terdapat dua bentuk zakat yang utama: zakat fitrah dan zakat pendapatan (perniagaan, pertanian dan sebagainya).

     Satu lagi cara membentuk masyarakat penyayang adalah pemberian sedekah. Walaupun pemberian sedekah bukan sesuatu yang wajib tetapi ia amat dituntut di dalam Islam terutama apabila masyarakat setempat mengalami musibah atau bencana dan sebagainya.

     Ramai orang melihat zakat sebagai suatu kewajiban. Walhal pemberian zakat dan sedekah merupakan suatu keistemewaan kepada mereka yang menghargainya. Memang benar Allah mewajibkan mereka yang berpendapatan mencukupi untuk bersedekah tetapi keistemewaan ini tidak diberikan kepada mereka yang kurang keupayaan pendapatan. Jika kita menyedari zakat dan sedekah merupakan keistemewaan, serta merta ia bukan beban kepada kita.

     Kebiasaannya orang melihat pengeluaran zakat dan sedekah akan mengurangkan kekayaan mereka. Tetapi jika kita mempunyai pemikiran yang berdaya maju, pengeluaran zakat dan sedekah akan menimbulkan desakan di dalam diri agar bekerja lebih kuat dan bijak. Sebagai contoh jika zakat yang wajib dikeluarkan adalah 1/40 daripada pendapatan (keuntungan), kita mesti mempunyai sasaran untuk mengeluarkan zakat/derma setiap tahun:
    a) sasaran zakat RM1000, pendapatan perlu dicari RM1000 X 40 = RM40,000
    b) sasaran derma RM3000, pendapatan perlu dicari RM3000 X 40 = RM120,000
    c) bernazar jika mencapai sesuatu objektif yang besar, contoh berjaya membuat pelaburan setengah juta Ringgit Malaysia akan membuat korban seekor lembu.

     Oleh itu, jika kita ingin mensasarkan zakat dan sedekah yang tinggi pada tahun tersebut, kita mesti bekerja kuat untuk mencapai sasaran tersebut. Kita mesti bijak membuat pelaburan untuk mencapai sasaran pendapatan.

     Sekiranya anda mendapati pendapatan anda mencukupi, lebih afdal untuk berniat untuk melabur dan keuntungan dikongsi bersama dengan masyarakat setempat seperti:
    a) sumbangan kepada masjid/surau
    b) sumbangan kepada anak yatim (bukan rumah anak-anak yatim)
    c) fakir miskin setempat
    d) tabung bantuan kecemasan (masjid/surau) dan sebagainya.

     Ramai orang melihat zakat dan sedakah di dalam bentuk wang ringgit. Walhal terdapat pelbagai cara untuk kita bersedekah kepada masyarakat. Tiga jenis sedekah:
   
     1. dalam bentuk wang ringgit
         Wang yang diberikan tidak semestinya banyak. Pemberian yang sedikit tetapi sentiasa ada lebih memudahkan pihak yang menerima seperti Masjid untuk melakukan perancangan kerja. Wang yang diberikan semasa kita kelihatan tidak mempunyai lebihan wang juga lebih berharga. Ia mendidik kita agar lebih berjimat cermat. Dan mengikut pengalaman saya dan orang yang berjaya, Allah sentiasa memberikan bantuan kepada mereka yang bersedekah di dalam keadaan ini. Bantuan yang diberikan tidak semestinya di dalam bentuk kewangan tetapi mempunyai nilai yang setimpal.

     2. dalam bentuk harta benda
          Kita mempunyai pelbagai barangan lama yang tidak digunakan. Tetapi jika disedekahkan kepada pihak lain, ia mungkin lebih berharga dan boleh digunakan lebih ramai orang contohnya buku, majalah dan pakaian. Pemberian barangan yang kita hargai kepada pihak lain yang lebih memerlukan dapat membentuk jiwa yang lebih baik.

     3. Dalam bentuk tenaga kerja
         Semasa kta dalam usia muda agak sukar untuk mengeluarkan bantuan kewangan. Semasa usia muda kita baru membina hidup; pelbagai keperluan yang memerlukan wang ringgit. Tetapi di kala usia muda, kita mempunyai tenaga dan masa yang amat berharga. Jika kita tidak mampu  mengeluarkan wang ringgit atau harta benda, kita seharusnya meluangkan masa melakukan kerja amal. Melalui formula Enstein yang terkenal:

                                            E = MC^2

          E - tenaga mewakili wang ringgit
          M - harta benda
          C  - cahaya mewakili masa

   Wang ringgit diperlukan untuk membuat kerja amal dan kebaikan. Bagi mereka yang mampu menyumbang hartabenda dan masa ia mempunyai sumbangan yang sempadan. Kadang kala sumbangan masa (tenaga kerja) tidak dapat dibalas melalui wang ringgit!

     Jadi bagaimana kerja-kerja amal, zakat dan sedekah ini dapat membantu pelaburan anda? Segala perbuatan yang anda lakukan akan membuka pelbagai pintu-pintu rezeki bagi mereka yang menggunakan akalnya. Allah telah menjanjikan di dalam Al-Quran setiap perbuatan harus menggunakan akal. Jika kita mengamati persekitaran melalui perbuatan tersebut, kita akan lebih memahami pelbagai masalah di sekeliling kita. Jika kita memahami masalah-masalah tersebut dengan mendalam, kita memahami keperluan-keperluan semasa dan akan datang. Jika kita tahu keperluan yang mendatang, rebutlah peluang pelaburan mengikut kesesuaian jiwa anda!

     Sesetengah pelaburan yang saya telah lakukan bermula dengan niat melakukan kerja-kerja kebajikan.

No comments: