Wednesday, January 28, 2015

Peperangan Matawang semakin rancak

Pihak ECB, Euro Central Bank telah mengumumkan perancangan dan pelaksanaan QE, Quantitative Easing mereka. Kononnya tindakan ini bertujuan untuk merancakkan ekonomi mereka. Walhal, ekonomi mereka semakin merudum bermula dari memboikot Russia, kejatuhan harga minyak, pengapungan matawang Switzerland dan kemungkinan mereka akan kehilangan 100% pinjaman yang telah dihulurkan kepada Greece (lihat catatan saya di sini apa akan berlaku bila ekonomi Eropah bermasalah dan tindakan yang telah saya lakukan).

Sebanyak EUR60 Billion (bersamaan USD67 Billion) akan dicetak daripada Mac 2015 sehingga September 2016. Pihak ECB mengikut jejak langkah FED, Federal Reserve Bank dari USA yang juga mengambil langkah yang sama apabila ekonomi USA jatuh merudum pada tahun 2009. FED juga memastikan kadar pinjaman di USA tetap rendah sehingga hampir sifar. Oleh itu, pihak pelabur terpaksa mencampakkan wang tersebut ke luar negara untuk memberikan pulangan yang lebih tinggi. Sesetengah syarikat gergasi pula menggunakan peluang tersebut untuk menyusun kewangan mereka dengan mengeluarkan bon-bon dan membeli balik saham mereka. Ini juga mengakibatkan saham-saham mereka naik secara berterusan. Langkah FED juga mengakibatkan negara-negara sedang membangun termasuk ASEAN dibanjiri dengan wang murah, dan tinggi kecairan dalam negara tersebut.

Kesannya telah kita alami di mana, mereka yang pintar telah menggunakan kadar pinjaman yang rendah untuk melabur di dalam pasaran hartanah. Sementara mereka yang kurang cerdik terpinga-pinga dan ketinggalan seperti ketinggalan kapal berlayar.

Persoalannya sekarang, ke mana wang murah daripada negara Eropah ini akan pergi? Kadar simpanan di USA masih sangat rendah sementara sesetengah negara Eropah mengenakan kadar simpanan yang negatif! Kadar matawang Euro juga semakin rendah berbanding US dollar. Ini juga bermakna negara-negara sedang membangun tidak akan berminat menambah simpanan matawang Euro. Jadi ke mana wang murah Euro ini akan dilaburkan?

Terdapat satu faktor utama yang berbeza keadaan di Malaysia berbanding semasa FED melakukan QE iaitu kadar pinjaman Isi Rumah (household) pada masa tersebut masih rendah berbanding GDP. Sekarang kadar pinjaman Isi Rumah berbanding GDP masih sangat tinggi. Jadi jika para pelabur Eropah ingin mencampakkan wang mereka ke Malaysia, adakah ramai orang yang akan meminjamnya. Tambahan pula kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memperketatkan kecairan kewangan negara.

Tetapi yang pastikan kos bahan mentah dan kehidupan seharian tetap akan meningkat naik kerana sandaran EMAS berbanding simpanan US dollar negara yang sangat kecil. Tambahan pula, terdapat pihak-pihak yang akan cuba mengekang kenaikan harga emas agar matawang mereka tidak akan menjadi sampah! Kesannya, matawang Malaysia pula yang akan susut nilai menyebabkan kos pembelian barang dari luar negara akan tetap naik. Dan rakyat akan menyalahkan kerajaan walhal penyangak ekonomi di luar negara yang bertanggungjawab!

Jadi, apakah perubahan perancangan pelaburan hartanah yang perlu dilakukan agar kita sentiasa terlindung dan tetap bertambah nilainya?

No comments:

Post a Comment